Monday, 21 November 2016

TEKNIK MENULIS PENGENALAN KARANGAN


Assalamualaikum dan salam sejahtera murid-murid. Gambar di bawah merupakan rangka penulisan bagi menulis pengenalan dalam karangan. 



Diharapkan gambar ini dapat menjelaskan lagi pemahaman murid-murid berkaitan dengan penulisan pengenalan. 😉✌


Sunday, 20 November 2016

TEKNIK PENULISAN KARANGAN PT3

ASPEK-ASPEK PENTING TENTANG KARANGAN

1. Rangka Karangan

 Pendahuluan    : 1 Perenggan 30 Perkataan

 Isi                      : 4 Isi : 4 Perenggan : 4x30 : 120 Perkataan

 Penutup            : 1 Perenggan : 30 Perkataan

2. Bentuk Perenggan


JENIS AYAT
PENDAHULUAN
ISI
PENUTUP
Ayat Topik
Tema
Kehendak  Soalan
1 /  2/ 3 / 4
Merumus
 Kehendak Soalan
Ayat Huraian
Huraian Tema
Huraian 
Kehendak Soalan
Ulasan Tema
Ayat Contoh
Bukti Huraian Tema
Bukti 
Kehendak Soalan
Cadangan
Ayat  Rumus
Kehendak  Soalan
Menegaskan Kehendak Soalan
Harapan


3 Aspek soalan

a) Punca : Faktor/ Sebab/ Apa/ Mengapa
b) Langkah Mengatasi : Cara/ Strategi/ Teknik/ Bagaimana/ Usaha
c) Kesan : Impak/ Implikasi/ Kebaikan/ Kepentingan/ Kelebihan/ Keburukan



TEKNIK MENGARANG KARANGAN PT3

1. Teknik Menganalisis Soalan Karangan

1.1 Baca ketiga-tiga soalan dengan teliti, kemudian pilih satu soalan.
1.2 Baca soalan yang dipilih dengan teliti. Kemudian gariskan gariskan kata-kata kunci:

Tema (T)/ Kehendak soalan (KS)/ Format Karangan (F)/ Kepanjangan Karangan (P)

Contoh : 

Penggunaan telefon bimbit dalam kalangan masyarakat semakin meluas

Huraikan kebaikan-kebaikan penggunaan telefon bimbit.

       Tema                    : Penggunaan Telefon Bimbit
       Kehendak soalan : Kebaikan Penggunaan
       Format Karangan : Karangan fakta


2.Teknik Menulis Rangka Karangan

2.1 Teknik Menulis Perenggan Pendahuluan.


Ayat Topik
Penggunaan telefon bimbit sangat meluas secara global
Ayat Huraian
Fungsinya semakin hari semakin canggih
Ayat Contoh
melayari internet, mendengar muzik,kamera
Ayat Rumus
Banyak membawa kebaikan

       Pada zaman digital ini, penggunaan telefon bimbit sangat meluas secara global bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Telefon bimbit bukan lagi sebagai alat perhubungan malah mempunyai pelbagai fungsi yang semakin hari semakin canggih. Antaranya, kita boleh melayari internet, mendengar muzik, kamera dan sebaginya. Hal ini banyak membawa kebaikan kepada masyarakat zaman sekarang.

2.2 Teknik Menulis Perenggan Isi.

a. Senaraikan isi-isi yang berkaitan dengan kehendak soalan.

i.  memudahkan komunikasi antara manusia
ii  mengurangkan membeli peralatan kamera
iii. meluaskan pengetahuan - internet
iv. menghiburkan hati

b. Kembangkan setiap isi yang telah anda senaraikan dan pastikan huraian isi tidak bercampur aduk. Tulis 1 isi dalam1 perenggan.

c. Rangka Perenggan Isi (1):


Ayat Topik
Memudahkan komunikasi antara manusia 
Ayat Huraian
Boleh menghubungi seseorang pada bila-bila masapun dan di mana-manapun kita berada.
Ayat Contoh
Boleh menggunakan kemudahan ‘sms’, watsapp, telegram, viber 
kosnya kurang daripada telefon biasa
Ayat Rumus
Sistem komunikasi manusia mudah dan berkesan

     Antara kebaikannya, penggunaan telefon bimbit memudahkan komunikasi antara manusia. Kita boleh menghubungi seseorang pada bila-bila masa dan di mana-manapun kita berada. Hal ini demikian kerana telefon bimbit mempunyai kemudahan seperti 'sms', 'mms', 'whatsApps', 'telegram', 'viber' dan sebagainya. Tambahan pula kos penggunaanya juga kurang berbanding dengan telefon biasa. Natijahnya, sistem komunikasi manusia sangat mudah dan berkesan.

2.3 Teknik Menulis Perenggan Penutup


Ayat Topik
Berfaedah kepada sesiapa sahaja
Ayat Huraian
Telefon bimbit dianggap sebagai keperluan berisiko
Ayat Contoh
Satu keperluan yang tidak boleh diabaikan
Ayat Rumus
Bijak menggunakannya - agar tidak membawa kemudaratan

       Izharnya, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan masyarakat sangat berfaedah kepada sesiapa sahaja. Namun begitu, semakin tinggi teknologi maklumat berkembang, semakin berisiko nyawa manusia di ambang kemajuan era globalisasi. Telefon bimbit sudah dianggap sebagai barangan yang dikategorikan sebagai keperluan yang berisiko. Walau bagaimanapun, telefon bimbit dianggap satu keperluan yang tidak boleh diabaikan. Oleh itu, kita perlu bijak menggunakan telefon bimbit agar tidak membawa kemudaratan.  

JENIS-JENIS PENDAHULUAN DALAM PENULISAN KARANGAN


APAKAH FUNGSI PENDAHULUAN DALAM KARANGAN
      a)  Menarik perhatian dan minat pembaca 
      b) Menunjukkan arah kepada pembaca tentang persoalan yang akan disentuh dalam isi karangan
      c) Menjelaskan tema karangan secara ringkas bertepatan dengan kehendak soalan

APAKAH CIRI-CIRI PENDAHULUAN YANG BAIK?

         a)      Tepat dengan kehendak soalan
      b)      Jelas dan sesuai dengan kehendak soalan
      c)      Menggunakan Bahasa yang tepat dan jelas
      d)       Ada perkaitan dengan isu yang dibincangkan dalam isi       
               karangan
     e)       Ditulis dalam satu perenggan
                 f)             Tidak memasukkan isi karangan dalam pendahuluan

Umpama sebuah pintu, pendahuluan sangat penting bagi menarik minat pembaca untuk mengetahui isi-isi yang akan dikemukakan oleh penulis dalam karangan.

JENIS-JENIS PENDAHULUAN KARANGAN

I)            Pendahuluan jenis definisi
II)           Pendahuluan jenis pendapat
III)          Pendahuluan jenis suasana
IV)          Pendahuluan jenis persoalan
V)           Pendahuluan jenis peribahasa
VI)          Pendahuluan puisi
VII)         Pendahuluan gabungan

i) PENDAHULUAN JENIS DEFINISI
-          memberikan takrif-makna-definisi (dengan merujuk kamus)

Contoh:
         Jenayah ditakrifkan sebagai perbuatan yang melanggar undang-undang atau peraturan. Jenayah bukan sahaja membabitkan orang dewasa melahan golongan remaja juga. Menurut kajian polis, jumlah kes jenayah telah bertambah daripada 40 021 kes pada tahun 1997 kepada 43 210 kes pada tahun 1998. Di samping itu, kesalahan yang dilakukan juga semakin serius dari semasa ke semasa. Usaha-usaha pelbagai pihak amat diperlukan untuk membendung jenayah.

ii) PENDAHULUAN JENIS PENDAPAT
-          Menyatakan pendapat seseorang tokoh

Contoh:
        Menurut Mantan Perdana Menteri, Y.A Bhg Dr. Mahathir Mohamad, pencemaran alam sekitar berpunca daripada kegiatan pembangunan. Walau bagaimanapun pembangunan tidak boleh dihentikan sama sekali. Apa yang perlu adalah dengan mengurangkan pencemaran tetapi pada masa yang sama meneruskan pembangunan. Langkah-langkah yang drastic harus diambil untuk memastikan kegiatan pembangunan dapat diteruskan di negara kita dan dalam masa yang sama pencemaran dapat dielakkan.

iii) PENDAHULUAN JENIS SUASANA
-          Menggambarkan sesuatu melalui suasana/situasi yang sesuai.

Contoh:
       Bas yang berhawa dinginterus berlalu menyusur jalan yang bengkang-bengkok dengan perlahan sekali. Rasa mual dan mengantuk hilang apabila kami dihiburkan oleh abang-abang yang memandu kami. Sepanjang perjalanan ke puncak Bukit Fraser, sepasang anak mataku sempat mengintai hutan rimba yang akan kami lalui nanti.

iv) PENDAHULUAN JENIS PERSOALAN
-          Mengemukakan beberapa ayat tanya yang berkaitan dengan tajuk.

Contoh:
Setiap orang memerlukan kecemerlangan untuk menjamin kejayaan bagi diri mereka. Apakah yang akan dikatakan kecemerlangan? Apakah dengan kecemerlangan boleh membuatkan seseorang itu berjaya? Apakah dengan berdiam diri sahaja tanpa sebarang usaha seseorang itu boleh mencapai kecemerlangan? Soalnya, apakah faktor-faktor yang mempengaruhi kecemerlangan?

v) PENDAHULUAN JENIS PERIBAHASA
-          Memasukkan satu atau lebih peribahasa Melayu yang sesuai.

Contoh:
       Peribahasa Melayu “ringan sama dijinjing, berat sama dipikul” dan “seperti aur dengan tebing” amat sesuai kea rah mewujudkan masyarakat penyayang yang anggota-anggotanya mengamalkan siat-sifat yang menggambarkan wujudnya hubungan kasih saying dalam sesebuah komuniti. Namun semangat berkerjasama dalam masyarakat semakin hari semakin terhakis terutama di kawasan bandar. Punca-punca permasalahan ini perlu dibincangkan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab.

vi) PENDAHULUAN SEDUTAN PUISI/LAGU
-          Mengemukakan sedutan lagu/pantun/sajak yang berkaitan dengan tema karangan.

Duhai apakah gerangan budi balasan
Bagi insan melahirkan, membesarkan

Bercucuran air mata bila mengenangkan
Betapakah besar budi, ibunda berikan
siang malam..menderita hingga entah bila
sungguh besar pengorbanan ibunda berikan




    Pengorbanan dan jasa seorang ibu tergambar jelas dalam lirik lagu ini. Ibu telah melahirkan dan mendidik seseorang anak menjadi insan yang Berjaya dan berguna kepada keluarga, bangsa dan tanah air. Kasih saying dan budi seseorang ibu tanpa mengharap sebarang balasan, tetapi sudah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk membalas segala jasa dan pengorbanan mereka.


vii)      PENDAHULUAN GABUNGAN

Contoh:
      
     Menurut kamus, kegiatan vandalisme boleh didefinikan sebagai    kegiatan laku musnah yang berkaitan dengan tindakan merosakkan atau memusnahkan harta benda termasuk kemudahan awam. Gejala memusnahkan kemudahan awam seperti pondok menunggu bas, telefon awam, kemudahan di sekolah dan sebagainya. Persoalannya mengapakah gejala vandalisme ini sering berlaku dalam kalangan remaja? Apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk membendung gejala ini?





Saturday, 19 November 2016

JENIS-JENIS PENDAHULUAN KARANGAN BAHASA MELAYU

JENIS-JENIS PENDAHULUAN KARANGAN BAHASA MELAYU

1. Pendahuluan Jenis Definisi
2. Pendahuluan Jenis Pendapat
3. Pendahuluan Jenis Suasana
4. Pendahuluan Jenis Persoalan
5. Pendahuluan Jenis Peribahasa
6. Pendahuluan Jenis Sejarah

Tajuk : Isu Penderaan
(Pendahuluan Jenis Definisi)
Dera bermaksud pukulan dengan rotan, tali pinggang atau alat-alat lain sebagai hukuman. Mendera bermaksud memukul dengan menggunakan alat-alat yang dinyatakan tadi. Penderaan pula bermaksud melakukan perbuatan mendera. Sebenarnya, penderaan terbahagi kepada dua jenis, iaitu penderaan berbentuk fizikal dan penderaan berbentuk mental. Berdasarkan kajian, banyak punca yang menyebabkan perbuatan ini berlaku terutamanya kepada kanak-kanak.

Tajuk: Kepentingan Bahasa Inggeris.
( Pendahuluan Jenis Pendapat)
Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan bahawa kita tidak akan mencapai kemajuan yang cepat jika kita tidak menumpukan perhatian dalam penguasaan bahasa Inggeris. Beliau berkata bahawa kebanyakan ilmu yang terdapat dalam dunia ini terungkap dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, kita mestilah memberikan penekanan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita. Menurut beliau, bahasa Inggeris banyak kepentingan atau kebaikannya, sama ada kepada rakyat mahupun negara.

Tajuk : Gambaran Tentang Kemalangan Ngeri Rumah Tertimbus
(Pendahuluan Jenis Suasana)
Apabila saya sampai di tempat kejadian itu, saya terdengar jeritan manusia dari celah-celah rekahan batu. Selain itu, tangisan bayi dan kanak-kanak jelas kedenganran dari sebuah bilik yang berdekatan dengan runtuhan batu tersebut. Pada ketika itu, pasukan penyelamat masih belum tiba lagi. Saya menjadi gelabah kerana buntu untuk melakukan sesuatu tindakan. Namun begitu saya menggagahkan semangat dan mencuba untuk melakukan sesuatu supaya mangsa yang berada di bawah runtuhan batu itu dapat diselamatkan.

Tajuk : Isu Kemalangan Jalan Raya
(Pendahuluan Jenis Persoalan)
Tahukah anda bahawa hampir setiap hari ada-ada sahaja kemalangan jalan raya yang dilaporkan di media massa? Hal ini amat membimbangkan terutamanya menjelang msuim perayaan. Siapakh yang patut dipersalahka, pengguna jalan raya atau pihak kerajaan? Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?

Tajuk: Rencana "Perpaduan Asas Kemajuan"
(Pendahuluan Jenis Peribahasa)
Masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu kaya dengan peribahasa yang meliputi semua aspek kehidupan. Antara peribahasa yang menekankan aspek kerjasama dan perpaduan termasuklah "Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni", "Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah", "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing", Bagai aur dengan tebing", dan "Ibarat Telur sesangkar, pecah sebiji pecah semua". Semua peribahasa yang dinyatakan itu sebenarnya membawa konsep kerjasama dan perpaduan yang utuh antara ahli dalam masyarakat. Konsep ini perlu diamalkan sepanjang masa kerana perpaduan asas kemajuan sesebuah negara.

Tajuk: Kemerosotan Sukan Bola Sepak
(Pendahuluan Jenis Sejarah)
Pada tahun 1972, pasukan bola sepak negara kita telah berjaya melayakan diri dalam pertandingan bola sepak sukan Olimpik di Munich, Jerman. Kejayaan ini diulang pada tahun 1980 apabila pasukan kita layak menyertai sukan Olimpik di Moscow, Rusia. Pada akhir tahun 1970, dan awal tahun 19080-an pula, keupayaan pasukan bola sepak negara kita setanding dengan keupayaan pasukan bola sepak Korea Selatan. Namun demikian, apakah punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak negara kita sekarang ini begitu jauh merosot atau ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain?



Friday, 18 November 2016

MENULIS KARANGAN MENGGUNAKAN TEKNIK MUDAH

Karangan boleh dianggap sebagai diri penulisnya. Tanggapan dibuat demikian kerana unsur-unsur yang membina karangan – perkataan, frasa, klausa dan ayat, idea atau isi serta pengetahuan atau pengalaman – berpunca sepenuhnya daripada penulisnya. Sekiranya penulis tidak menguasai semua unsur tersebut, karangan berkenaan tidak akan sempurna.

Karangan juga persis manusia, perlu mempunyai kepala, bahagian tengah dan anggota bawah untuk menjadi manusia yang lengkap fizikalnya. Hal ini kerana setiap karangan perlu mempunyai pendahuluan, isi dan penutup. Anggota-anggota badan manusia itu pula perlu berada di tempatnya yang sebenar atau biasa. Demikianlah juga halnya dengan karangan. Bahagian-bahagian karangan berkenaan didirikan oleh perenggan.

Didapati bahawa kegagalan calon peperiksaan di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapat markah yang tinggi banyak disumbangkan oleh kertas karangan. Pelajar mungkin mempunyai idea, tetapi mempunyai masalah untuk menyampaikan idea tersebut. Oleh yang demikian, pelajar sebenarnya menghadapi masalah untuk mengarang. Masalah ini timbul disebabkan pelajar tidak menguasai suatu cara asas atau kemahiran untuk menulis karangan. Pelajar sebaik-baiknya ditunjukkan langkah atau teknik menulis setiap perenggan supaya mereka dapat menulis karangan dengan berkesan.

Mengetahui Kehendak Karangan
Setelah memilih tajuk karangan yang dirasakan dapat dikuasai isi atau faktanya dengan baik, pelajar perlu mengetahui idea pusat karangan itu. Idea pusat ialah perkara atau isu yang ingin dibincangkan, atau idea keseluruhan, atau tema. Dalam kata lain, pelajar perlu mengetahui kunci, iaitu kehendak sesuatu tajuk. Ini untuk memastikan pelajar menulis isi yang tepat dan terelak daripada terpesong isi atau terkeluar daripada tajuk.

Membina Perenggan
Setiap karangan harus mempunyai perenggan-perenggan tertentu. Untuk pendahuluan dan penutup, masing-masing dibina oleh satu perenggan. Untuk isi, jumlah perenggan bergantung kepada jumlah isi utama atau isi besar. Jumlah isi utama yang dianggap memadai untuk sesebuah karangan ialah tiga atau empat. Satu perenggan hendaklah dibangunkan oleh satu isi utama sahaja. Sekiranya terdapat tiga isi utama, maka jumlah perenggan untuk isi ialah tiga juga. Dengan yang demikian, karangan tersebut biasanya mempunyai lima atau enam perenggan. Pembinaan perenggan yang tersusun menjadikan karangan berkenaan menarik untuk dibaca, malah menggambarkan bahawa pelajar menguasai teknik penulisan yang berkesan.

Untuk memudahkan pelajar membina perenggan, pelajar harus menentukan jumlah ayat yang perlu ditulis. Untuk peringkat PMR, sebaik-baiknya tiga atau empat ayat, manakala untuk SPM, seelok-eloknya dibina lima ayat. Ini penting untuk mengimbangkan huraian dan juga jumlah perkataan bagi keseluruhan karangan.

Perenggan Pendahuluan
Perenggan pendahuluan memperkenalkan tajuk karangan kepada pembaca. Maknanya, dalam perenggan ini belum terdapat sebarang isi, tetapi menyatakan hal yang berkait rapat dengannya.
Pendahuluan boleh dibina dengan tiga hingga lima ayat. Karangan bermula dengan ayat pengenalan. Satu ayat pengenalan dikira sudah memadai. Ayat ini akan membawa pembaca untuk memahami tajuk dan isi secara umum. Ini diikuti oleh dua atau tiga ayat huraian, yang merupakan ayat yang menyokong atau menghuraikan kenyataan dalam ayat pengenalan. Perenggan ini diakhiri oleh satu ayat fokus, yang membawa pembaca secara tegas kepada tujuan atau arah karangan, iaitu persoalan yang hendak dibincangkan dalam bahagian isi nanti.

Lihat contoh pendahuluan di bawah:

(1) Akhir-akhir ini didapati bahawa kualiti air semakin terancam. (2) Banyak kes pencemaran air dilaporkan berlaku di sana-sini yang sangat membimbangkan kita. (3) Bukan sahaja air sungai atau laut yang tercemar, malah sekarang melibatkan air yang diproses di loji pembersihan. (4) Fenomena ini akan mengancam kesihatan dan keselamatan sesiapa yang menggunakannya. (5)Masalah ini terjadi adalah disebabkan oleh sikap anggota masyarakat sendiri yang tidak memberikan perhatian terhadap kebersihan sumber alam tersebut.
Dalam perenggan di atas, ayat (1) ialah ayat pengenalan, manakala ayat (2) hingga ayat (4) ialah ayat huraian. Ayat (5) pula merupakan ayat fokus, yang memberikan bayangan paling dekat terhadap inti tajuk, "sikap masyarakat merupakan penyebab pencemaran air".

Perenggan Isi
Jumlah perenggan isi bergantung kepada jumlah isi utama. Satu isi utama dihuraikan dalam satu perenggan supaya karangan lebih kemas dan memudahkan pemeriksa mengenal pasti isi utama dan isi sampingan. Penyusunan isi utama pula mengikut kepentingan, iaitu yang lebih penting atau dapat dihuraikan dengan jelas hendaklah didahulukan.

Setiap perenggan isi boleh dihuraikan dengan empat atau lima ayat. Perenggan isi dimulakan dengan satu ayat topik, iaitu ayat yang menyatakan isi utama. Bagi pelajar yang sudah cekap mengarang, ayat topik boleh juga diletakkan di tengah atau bahagian akhir perenggan. Tetapi, untuk memudahkan pelajar membuat huraian, lebih baik diletakkan pada awal perenggan. Ini diikuti oleh dua hingga empat ayat huraian. Ayat ini mengandungi isi sampingan atau sokongan kepada ayat topik, dan kadangkala termasuk contoh yang difikirkan sesuai.

Contohnya, pelajar boleh menulis satu perenggan isi sebagaimana yang berikut:
(1) Satu daripada sikap sebilangan anggota masyarakat kita adalah tidak mementingkan aspek kebersihan persekitaran dalam kehidupan sehari-hari. (2) Mereka tidak suka kepada sampah-sarap, tetapi mereka mengambil mudah urusan membuang sampah. (3) Dengan sikap ini mereka menjadikan longkang, sungai dan tasik sebagai tong sampah, sebagaimana yang lazim berlaku di perkampungan setinggan. (4) Hal ini bukan sahaja menyebabkan air sungai atau tasik tercemar, tetapi juga memudahkan terjadinya banjir kilat kerana laluan air tersekat ketika hujan.
Ayat (1) merupakan ayat topik, iaitu yang menyatakan isi utamanya, "sikap masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan". Ayat-ayat berikutnya merupakan ayat huraian, iaitu ayat (2) dan (3) memberikan contoh sikap yang dinyatakan, manakala ayat (4) menerangkan akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab tersebut.

Perenggan Penutup
Perenggan ini berfungsi membuat rumusan secara keseluruhan segala idea yang telah dicurahkan dalam perenggan-perenggan sebelumnya. Pelajar boleh membina perenggan ini dengan menggunakan tiga hingga lima ayat. Perenggan ini tidak seharusnya mengulang kembali apa yang telah dituliskan dalam perenggan pendahuluan. Beberapa cara menulis penutup yang mudah adalah seperti menyatakan semula, membuat ramalan dan membuat syor. Walau bagaimanapun, pemilihan teknik penutup perlulah sesuai dengan jenis karangan.
Menyatakan semula
Melalui teknik ini pelajar boleh menyebut atau mengulang kembali semua hujah yang dikemukakan sebagai isi utama secara ringkas. 

Contohnya:
(1) Sebenarnya banyak usaha yang telah dilakukan oleh pihak tertentu untuk membanteras pencemaran air. (2) Namun usaha tersebut tidak banyak membantu kerana sikap masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan persekitaran. (3) Projek pembangunan yang rancak dijalankan di sana-sini tanpa mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar pula menyebabkan berlakunya hakisan tanah yang teruk yang mampu menjejaskan kualiti air di sungai atau tasik, dan keadaan tersebut lebih teruk apabila kebanyakan ahli masyarakat yang tidak suka mematuhi peraturan yang digubal oleh pihak berkuasa.
Perenggan penutup di atas memuatkan tiga isi utama.

Membuat ramalan
Dengan penutup cara ini, pelajar menghuraikan kemungkinan yang akan berlaku.
Sikap sedemikian jika dibiarkan berterusan boleh mengakibatkan kesan yang serius. Pelbagai jenis penyakit bawaan air yang sukar dikawal akan merebak dengan cepat, dan menjejaskan kesihatan penduduk. Selain itu, hal ini akan membabitkan peruntukan kewangan yang tinggi, bukan sahaja untuk mengubati pelbagai penyakit tersebut, tetapi juga untuk memulihkan sungai, tasik atau laut yang tercemar.
Dalam perenggan penutup tersebut, dua ramalan dibuat, iaitu dalam dua ayat terakhir.

Memberikan syor
Melalui teknik ini pelajar menutup karangan dengan memberikan cadangan yang dikira munasabah. Dua cadangan dianggap mencukupi. Walau bagaimanapun, teknik ini tidak sesuai dengan karangan yang sudah meminta langkah atau cara untuk menyelesaikan sesuatu isu. Hal ini kerana pelajar telah menyatakannya dalam perenggan isi, walaupun berlainan. Contoh penutup jenis ini adalah sebagaimana di bawah ini:
Jelaslah bahawa sikap masyarakat menyebabkan pencemaran air berleluasa di mana-mana sahaja. Untuk mengatasinya, kesedaran masyarakat terhadap kebersihan perlu dipupuk. Kempen, ceramah dan pertandingan perlu dijalankan dari semasa ke semasa sehingga masyarakat dapat mendisiplinkan diri dalam aspek kebersihan. Selain itu, peraturan yang sesuai perlu digubal, ditambah atau diubah suai. Dalam masa yang sama, penguatkuasaan yang tegas wajib dilaksanakan untuk memastikan segala program mencapai matlamatnya.

Unsur-unsur Lain yang Penting
Kebanyakan pelajar, khususnya golongan pelajar yang lemah, tidak menitikberatkan hal-hal teknikal dan unsur tatabahasa tertentu. Selain teknik menulis, hal-hal ini juga sangat perlu diberikan perhatian untuk menghasilkan karangan yang berkesan.

Mematuhi jenis karangan dan format
Sesetengah jenis karangan memerlukan pendekatan yang berlainan. Karangan perbincangan perlu diolah secara membincangkan sesuatu isu, seperti tajuk contoh di atas, berbeza dengan karangan berbentuk cerita atau pengalaman. Manakala karangan yang berformat – surat kiriman, syarahan, ceramah, perbahasan, wawancara dan seumpamanya – perlu mematuhi format yang telah ditetapkan.

Bahasa yang berkesan
Bahasa yang tidak berkesan akan melemahkan karangan walaupun mempunyai isi yang kuat. Unsur utama bahasa yang perlu diberikan perhatian ialah pembinaan ayat serta pemilihan frasa dan perkataan yang sesuai. Sebaik-baiknya karangan dibina dengan ayat yang pelbagai jenis atau struktur, iaitu campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk, ayat songsang, ayat biasa, ayat aktif, ayat pasif dan ayat-ayat lain yang sesuai. Frasa yang dibina perlu mengikut Hukum D-M. Manakala perkataan yang dipilih perlu tepat atau jelas untuk menggambarkan sesuatu, misalnya perlu dibezakan di antara ramai dengan banyak. Imbuhan juga harus digunakan dengan berhati-hati supaya sesuai dengan kata dasar dan maksud yang ingin disampaikan.

Ejaan dan tanda baca
Didapati kebanyakan pelajar mengabaikan aspek ini. Ejaan perlu diberikan perhatian kerana setiap kesalahan ejaan akan dipotong setengah markah
sehingga tidak lebih daripada lima markah untuk keseluruhan karangan. Ini termasuklah penggunaan tanda sempang (-) pada kata ganda. Tetapi markah tidak dipotong untuk kesalahan berulang. Banyak pelajar yang tidak menggunakan tanda koma (,), malah tidak juga menurunkan tanda noktah (.) di akhir ayat. Didapati tanda-tanda bacaan yang lain seperti noktah bertindih (:), noktah berkoma (;), dan sempang (-) pula tidak dipedulikan langsung. Tanda-tanda ini jika digunakan di tempat yang tidak sesuai akan menyebabkan ayat yang dibina membawa maksud yang lain, atau salah sama sekali.
Jelasnya, menulis karangan seperti kegiatan lain juga bukanlah kerja yang rumit sekiranya kita memiliki tekniknya. Teknik penulisan boleh diubah suai mengikut kemampuan diri sendiri. Pelajar perlu membiasakan diri dengan teknik tersebut. Pembiasaan boleh dilakukan dengan sentiasa mempraktikkannya, iaitu dengan cara rajin menulis karangan.

Nukilan Cikgu